Friday, March 4, 2011

Matlamatku.. Impianku.. - Prolog

Angin dingin pagi meniup perlahan menyentuh kulit hitam manis gadis berbaju sekolah serta kasut hitam yang berdiri bersebelahan kereta Toyota Vios berwarna hitam. Dia perlahan-lahan melangkah ke arah surau R&R Bukit Gantang. Perjalanannya menuju ke Sekolah Tun Fatimah bermula pada jam 3 pagi tadi. Matlamatnya satu, untuk mendaftar menjadi pelajar sekolah itu.

Selepas berjaya mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh itu, kehidupannya berubah. Guru-guru di sekolah lamanya menjadi berat hati untuk melemparkan senyuman kepadanya. Rakan-rakan sekelasnya pula menjadi dingin dan sedih untuk melepaskannya. Lembaga pengawas pula.. makin hari makin sepi.

Selesai solat subuh, dia ke kawasan cafe untuk minum pagi bersama ibu, ayah, adik serta kakak-kakaknya. Semasa menyuapkan nasi lemak ke mulutnya, dia teringatkan insiden pada minggu terakhir persekolahannya pada minggu lepas.

Dia berjalan melepasi kelas 3 Cekal, 3 Bakti.. akhirnya, 3 Amanah. Pintu besi kelas itu diketuk perlahan. Dia memberi salam kepada guru yang berada di dalam kelas itu. Teacher Chiam. Dia tersenyum manis menampakkan ala-ala lesung pipit di bawah matanya.

"Good morning, teacher.." dia menegur guru itu. Guru itu menjemputnya duduk selepas memberi tugasan kepada pelajar di dalam kelas itu.

"I have some news.." dia mula menyusun ayatnya. Guru itu memandangnya dengan penuh curiga. "I'm accepted to Tun Fatimah School.." sebaik dia mengakhiri ayatnya, mata guru itu berair. Senyuman gadis itu pudar.

"So, you're going?"

Gadis itu mengangguk perlahan. Pantas guru itu memeluknya erat. Gadis itu juga tidak dapat menahan air matanya daripada jatuh, sepantas mungkin, dia mengesat matanya. Kemudian dia menuju ke arah bilik pengawas pula untuk menyampaikan berita itu kepada kakak-kakak seniornya.

Dia mengetuk perlahan bilik itu. Kelihatan kakak-kakak itu sedang sibuk menyiapkan persiapan bagi Kem Kepimpinan Pengawas yang bakal diadakan di Yan, Kedah pada hari Jumaat dan Sabtu ini. Kak Syuhaida melemparkan senyuman kepadanya lalu menjemputnya masuk.

"Ada apa datang ke bilik pengawas ala pengganas ni?" Kak Fatin cuba membuat lawak namun tak menjadi. Gadis itu tersenyum.

"Sengih.. sengih.. Cakap lah cepat, ada apa?" Kak Syuhaida mencuit pahanya. Dia masih tersenyum.

"Lepas ni jaga Lembaga Pengawas baik-baik tau.." dia memulakan ayatnya. Kak Syahirah, Kak Fatin, Kak Syuhaida dan Kak Sarah yang sedang asyik membuat kertas kerja terhenti mendengarkan ayat gadis itu yang berbunyi semacam.

"..sebab adik dapat offer ke Sekolah Tun Fatimah, dekat Johor.."

Air mata berderai.