"Assalamualaikum, semua.. selamat datang ke perjumpaan pertama setelah dirombakkan tempat tinggal awak semua pada tahun ini.. syabas saya ucapkan kerana sepanjang dua hari ini, tidak berlaku sebarang kekecohan mahupun sesuatu yang tidak diingini.. berikan tepukan kepada diri sendiri.." ucap Kak Farah selaku Presiden Exco Tertinggi Asrama pada tahun itu bagi asrama puteri. Tepukan gemuruh kedengaran.
"baik, bagi menentukan ketua dorm, akak akan serahkan kepada awak semua sendiri untuk putuskan.. tujuan akak panggil awak semua ke bilik yang tak berapa nak besar ini adalah untuk memperkenalkan diri kami serta memberitahu peraturan di dorm.. peraturan di dorm dan kiub adalah berbeza.." sambungnya lagi.
"baik, nama kakak, Farah Aliya binti Zainal.. kakak belajar di kelas 4 Alpha, dan kakak adalah presiden bagi Exco Tertinggi Asrama pada tahun ini.. sebarang masalah awak semua boleh rujuk kepada kakak.." kak Farah perkenalkan dirinya. Begitu juga dengan Kak Ruhil selaku Naik Presiden, kak Aisha selaku Setiausaha, kak Laila selaku Bendahari, dan juga kak Nabilah selaku Ketua AJK.
Selesai sesi perkenalan, kak Farah menerangkan sedikit sebanyak tentang peraturan di asrama. Usai itu, Kak Nabilah pula membuat pengumuman bagi melantik AJK Keceriaan dan Kebersihan Asrama dan AJK Keselamatan Asrama. Kak Fatin dari 4 Alpha, dilantik sebagai AJK Keceriaan dan Kebersihan Asrama manakala Kak Ida dari 4 Omega dilantik sebagai AJK Keselamatan Asrama.
* * *
"ada sesiapa ingin memberi cadangan tentang pencalonan presiden dan penolong presiden dorm Theta 7 kita ini?" kak Mashitah bersuara kecil. Semua berpandangan sesama sendiri. Aina duduk bersebelahan dengan Kak Syahirah disebelah kirinya dan Shazwani di sebelah kanannya. Mereka duduk di dalam sebuah bulatan boleh tahan besarnya.
"saya mencalonkan Kak Siti Syahirah untuk menjadi presiden dorm dan kak Nurul Mashitah sebagai penolong.." lantang suara Aina menyuarakan cadangannya. Semua tersenyum. Aina dengan sifat selambanya itu dengan secara tidak sengaja telah menarik perhatian beberapa orang pelajar junior yang sedang lalu di hadapan dorm mereka.
"baik, cadangan diterima.. ada lagi cadangan?" soal kak Mashitah sambil tersenyum kepada Aina. Semua masih berpandangan sesama sendiri. "baiklah, saya mencalonkan Nurul Mastura menjadi presiden dorm manakala adik Aina Nadhirah menjadi penolongnya." kak Mashitah bersuara apabila semuanya diam. Aina terus tersipu malu bagaikan baru menerima smash dari pihak lawan di dalam permainan badminton.
Semua terdiam. Akhirnya satu suara bersuara dan disahut oleh semua.
"saya setuju kak Syahirah menjadi presiden dan kak Aina menjadi penolongnya!" salah seorang junior bersuara. Junior itu adalah Shasha, pelajar kelas 1 Alpha. Akhirnya kata putus diambil, Kak Syahirah menjadi presiden dorm dan Aina menjadi penolong presiden dorm.
Sebagai tugas pertama, Aina disuruh oleh Kak Syahirah untuk turun ke setor di tingkat bawah untuk mengambil bakul sampah yang sepatutnya berada di dalam bilik mereka tetapi tiada. Aina mencebik. Dalam perjalanan untuk ke setor, Aina merungut.
'eh-eh, kalau iya pun tugas, takkan la tugas aku pergi ambil bakul sampah.. hantu punya presiden..' Aina menyesal kerana mengusulkan cadangan untuk memilihnya sebagai presiden.
* * *
Sesi ice breaking di antara ahli dorm dijalankan dengan lancar. Pihak EXTIMA memberi tugas itu kepada presiden dorm masing-masing dan kemudian terpulang kepada presiden, aktiviti apa yang mereka bakal jalankan. Bagi merancakkan aktiviti, EXTIMA menjadikan sesi ini sebagai penyuntik semangat untuk terus meriahkan aktiviti diantara ahli dorm masing-masing. Dalam erti kata lain, dijadikan seperti pertandingan dan markah akan diambil. Pada hujung tahun, dorm yang mengumpul markah paling banyak bakal dianugerahkan anugerah istimewa.
Bagi dorm Theta 7, mereka riuh sekali. Dari dorm, ke dewan selera, dan kemudian ke dataran usahawan. Di dorm, mereka memulakan sesi suai kenal walaupun sudah mengenali satu sama lain kerana markah aktiviti diambil oleh wakil EXTIMA yang datang untuk memantau mereka.
"baiklah, kita mulakan majlis kita dengan ummul kitab, al-Fatihah.." ucap Kak Syahirah sambil memandang Aina dengan pandangan yang serius. Gerun dibuatnya.
"..amin.. seperti semua ketahui, nama akak, Siti Syahirah dan akak belajar di kelas 4 Omega, kelas aliran Sastera. Kakak mula menuntut di sekolah ini sejak tahun 2007 lagi. Kakak adalah anak yang ketiga dari empat adik beradik....." dan perkenalan diri Kak Syahirah berterusan dengan kisah tentang ibubapa serta adik beradiknya dan sebagainya.
Mereka duduk di dalam sebuah bulatan seperti mana mereka duduk semasa melantik presiden dan penolong presiden dorm semalam. Aina duduk di sebelah kanan Kak Syahirah, jadi dia adalah orang terakhir yang bakal memperkenalkan dirinya. Seorang demi seorang memperkenalkan diri. Tiba pula giliran seorang pelajar juniornya. Kulitnya cerah, pipinya tembam. Senyum aje, matanya terus sepet. Comel.
"erm.. nama saya Sofia Edrina, saya sekelas dengan Shasha, 1 Alpha. Err.. Mula menuntut di sekolah ini sejak bulan lepas.. Anak kedua dari dua adik beradik.. Ibu kerja denagn kerajaan, ayah pula kerja sendiri...." percakapan pelajar itu tidak lancar. Gagap - dalam erti kata lain. Aina memandang pelajar itu lama. Dia kelihatan resah. Tadi tenang aje. Pelik. "..erm, itu aje." dia akhiri dengan mudah.
Seorang demi seorang, akhirnya tiba giliran Aina. Aina tersenyum. Sekali imbas macam patung beruang.
"nama diberi, Aina Nadhirah dan belajar di kelas 2 Alpha. Mula belajar di sekolah ini sejak bulan Mac tahun lepas, kerana menerima kemasukan yang kedua. Mempunyai enam beradik, dan tinggal berasingan. Itu aje, sekian." ringkas. Aina tidak mahu memberitahu lebih. Semua memandang Aina dengan pandangan yang tidak puas hati. Mereka memberitahu tentang keluarga mereka, dia tidak pula. Kenapa?
Kak Syahirah terpinga-pinga memandang Aina. Aina memberi isyarat untuk meneruskan aktiviti. Dengan itu mereka terus diberi arahan untuk bergerak ke dewan selera. Semasa keluar dari dorm, Aina pelajar yang paling akhir keluar dari dorm. Semasa mengunci dorm, kelihatan Sofia memandangnya. Aina pelik. Dia terus menyarungkan sandal dan berjalan. Sofia berhenti berjalan, entah kenapa. Sebaik Aina tiba di sisinya, barulah dia sambung berjalan.
Aina mengerutkan dahinya. Mereka berdua berjalan seiringan tetapi hanya mendiamkan diri. Tiba-tiba Sofia bersuara.
"Kenapa kakak tak cerita tentang keluarga kakak?" soalnya. Langkah Aina terhenti. Dia mengetapkan bibirnya. Dia menundukkan kepalanya dan terus beristighfar. Dalam masa beberapa saat, dia mengangkat semula kepalanya dan sambung berjalan. Kening Sofia terangkat.
"it's for me to know, and not for anyone to find out.." tegas Aina. Dia memandang Sofia dengan geram. Ada pula menjaga tepi kain orang. Huh! Hati Aina membara. Terus dia bertukar mood. Anginnya dari elok terus bertukar buruk. Oh tidak.. Sofia terkebil-terkebil memandang kakak seniornya yang bertukar merah apabila diajukan soalan itu tadi. Pernah juga dia mendengar khabar bahawa Aina adalah pengawas yang sangat tegas dan seorang yang pemarah. Tetapi Sofia tahu, dia bukan begitu walaupun baru sahaja mengenali Aina.
* * *
Sejak kebelakangan ini, angin Aina tidak menentu. Melenting tidak tentu pasal, marah-marah dan banyak lagi. Pada hari Sabtu, pelajar puteri keluar outing. Bas rasmi sekolah yang dinaiki mereka itu menuju ke Queensbay Mall. Inilah masa untuk mereka melepaskan tension di kepala selepas belajar. Maklumlah, pelajar asrama tidak berkesampaian untuk keluar pada setipa hujung minggu.
Tiba sahaja di sana, Sofia dan Shasha mendekati Aina, Natasha, Aisyah, Hamizah, Amierah dan Ika. Mata Aina melilau mencari sesuatu. Entah apa. Tiba-tiba terasa sesuatu mencuit bahunya. Aina terus mengalih. Sofia dan Shasha terpacak dihadapannya seperti patung. Mata Aina terbeliak akibat terkejut. Aina hampir-hampir melatah, namun dia sempat menahan.
"haih budak-budak nih! orang dapat heart attack baru tahu!" Aina memarahi mereka. Namun, mereka masih tersenyum. Sedikit pun tak gerun dengan kemarahan Aina yang meluap-luap itu. Aina pelik. Ahh, biarkan aja!
"Kakak, kami nak makan Pizza Hut. Jom makan sekali?" ajak Shasha. Sofia hanya memerhati dan tersenyum. Aina memandang sahabat-sahabatnya. Masing-masing mengangkat bahu.
"your call, Aina. kami ikut kau aje.." Hamizah menjadi wakil mereka berlima. Aina mengerutkan dahi.
"taknak Pizza Hut. haram." jawab Aina dengan ringkas. Disebalik kata-katanya, ada maksudnya. Seperti yang kita ketahui, Pizza Hut, McDonalds, KFC dan sebagainya adalah produk keluaran Israel. Bagi membantu saudara-saudara kita di Palestin, lebih baik kita tidak membeli barangan mereka. Jika tidak mampu untuk berperang, kita boleh membantu dari jauh.
"kenapa, Kak Aina?" soal Shasha kepadanya. Matanya masih melilau mencari sesuatu. Entah apa.
"keluaran Israel, dik." Aina mengawal nadanya. Sudah beberapa hari dia tidak senyum. Jika senyum pun, senyum terpaksa. Entah apa yang mempengaruhinya. Sofia mengesyakki, ianya kerana soalan yang diajukan kepadanya pada minggu lepas semasa aktiviti dorm pertama mereka. Bagi menebus kesalahannya, Sofia ingin belanja Aina makan.
Aina dikenali oleh seluruh warga blok itu kerana hobinya iaitu makan. Makanlah berapa banyak pun, saiz badannya tetap sama. Ini kerana, Aina adalah seorang atlit sukan, juga ahli pesilat. Semasa latihan, Aina mengeluarkan peluh yang banyak dan membakar segala lemak yang tidak diperlukan didalam badannya. Sebagai seorang atlit, dia perlu mengekalkan staminanya.
"kalau macam itu, ikut kakak lah. Kakak nak makan di mana?" kali ini, Sofia pula yang bersuara. Aina memandang Sofia dengan pandangan yang tajam. Masih dia ingat soalan yang ditanya oleh Sofia. Hati Aina terus membara. Diakui olehnya sendiri, Aina bukanlah seorang yang penyabar. Kadang kala, kesabarannya tidak mampu menampung kemarahannya mengakibatkan tercetusnya angin yang tidak baik.
"Kapitan. Lapar tandoori." Aina menjawab selamba dek aje. Masing-masing terlopong mulutnya mendengarkan jawapan oleh Aina. Datang outing jauh-jauh, nak makan tandoori aje?! Sawan apa, budak ni? Tahun lepas, pantang outing aje, makan mewah-mewah. Dome ke, Subway ke, White Coffee ke.. Tahun ini, bertukar angin pula?
"eh, bukan kau cakap nak makan laksa ke?" soal Amierah. Aina memandang Amierah dengan senyuman.
"jimat duit.." Aina menjawab sambil tersenyum sehinggakan matanya tidak kelihatan. Mereka semua tergelak melihat gelagat Aina. Tiba-tiba aje moodnya berubah menjadi baik. Pelik benar Aina nih.
* * *
Semasa dalam bas ke Giant untuk membeli barang keperluan harian mereka, Sofia teringat nasihat oleh rakan-rakan Aina beberapa hari lalu.
"Adik, kami nak cakap sikit boleh?" soal Ika. Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Sekarang waktu riadah. Kelibatan Aina langsung tidak kelihatan. Pertandingan silat bakal diadakan dalam masa 3 bulan. Latihan perlu ditingkatkan untuk mencapai kejayaan ke peringkat kebangsaan.
Sofia mendongak kepalanya. "oh, kakak. boleh aje, duduklah.." Sofia mempelawa mereka berlima duduk di atas padang itu.
"kami nak cakap sikit pasal.. Kak Aina.." Ika menyambung. Sofia terus memandang Ika dengan serius. "sebenarnya, Kak Aina kamu tu, ada masalah keluarga dan tidak suka sama sekali jika hal keluarganya dibangkitkan oleh sesiapa pun walau cikgu. Apa masalah yang dihadapinya, kami sendiri tidak tahu. Tapi kami pasti, dia mempunyai masalah keluarga.." Ika terus bercerita.
"macam mana kakak boleh tahu?" soal Sofia pula.
"dari tahun lepas lagi, asal BBM* aje, dia tak akan balik ataupun dia akan balik bersama salah seorang daripada kami.. Jarang kami lihat dia balik ke rumahnya sendiri kecuali pada hari raya dan cuti semester.. bila ditanya, alasan diberi adalah, 'it's for me to know and not for anyone to find out'.. sampai naik mual dengan alasan itu.." sampuk Aisyah pula. Sofia mendengar dengan penuh perhatian.
"jadi, kami disini nak minta bantuan adik supaya bersabar dengan Kak Aina tu.. dia memang panas baran, dik. kami kenal sangat. Ada masanya untuk dia melawak dan ada masanya untuk dia serius. Bila dia serius, tiada siapa boleh mengganggu fokusnya. Bila dia melawak, segala-galanya dipandang ringan. Semuanya ikut kepala dia.." Hamizah pula bercerita.
"tapi.. dalam degil-degil dia, ada juga sifat lemah lembutnya yang tersendiri.. itu, kami aje yang tahu.. belum pernah dia tunjuk kepada orang lain.. dia sangat pentingkan kawan.. belum pernah kami diabaikan oleh dia.. tak rugi kalau berkawan dengan dia.. seronok lagi ada.." Natasha yang dari tadi diam terus bersuara. "jadi, adik perlu jadi air untuk meredakan api kemarahannya yang mebuak-buak.. buat sifat selamba, jangan ambil hati sangat dengan kata-kata dia.. macam Kak Hamizah cakap, dia memang begitu.." nasihat Natasha kepada Sofia.
"Aku perlu jadi air!" bisik kecil Sofia. Dia tersenyum.
No comments:
Post a Comment